Tuesday, March 9, 2010

ICT: Teknologi untuk Kebaikan atau Dosa


Cara membendung anak-anak terdedah bahaya internet..

Trend perkembangan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) menunjukkan bahawa ia akan terus berkembang, menjadi semakin berkuasa, pengguna yang semakin bertambah, aplikasi yang semakin meningkat dan semakin mudah dicapai oleh sesiapa saja di mana-mana dan pada bila-bila masa saja.

Menurut Pengarah Eksekutif Yayasan Ilmuan, Tuan Shaikh Mohd Shaifuddeen Shaikh Mohd Salleh, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) pada hari ini bukan saja digunakan oleh orang dewasa, malah anak-anak dari peringkat sekolah hinggalah ke universiti. ICT membuka ruang lingkup yang luas kepada dunia penjejahan minda anak-anak dengan memberikan peluang kepada mereka mencapai peluang kepada mereka mencapai pelbagai bentuk maklumat berguna bagi pembangunan intelek dan minda mereka.


Setiap teknologi yang dibangunkan oleh manusia bersifat 'serampang dua mata' iaitu boleh mendatangkan manfaat yang besar tetapi pada waktu yang sama boleh membawa kemudaratan. Hakikatnya dunia siber tidak banyak bezanya dengan dunia nyata kerana kedua-duanya kaya dengan kebaikan tetapi turut mempunyai lorong-lorong gelap yang boleh membawa kepada dosa dan maksiat.


Ada dua kategori risiko dan bahaya kepada anak-anak. Pertama, risiko yang terdedah kepada anak-anak akibat perbuatan sendiri secara sengaja ataupun tidak sengaja. Misalnya, memasuki laman-laman web lucah, memuat turun filem-filem tertentu ataupun memasuki bilik-bilik sembang seks. Risiko kedua pula ialah risiko yang berlaku apabila anak-anak berkomunikasi dengan orang yang tidak dikenali di alam siber. Anak-anak mungkin tanpa disedari akan mendedahkan maklumat diri dan keluarga kepada mereka yang tidak bertanggungjawab yang seterusnya mampu mengundang bahaya.

Suatu masa dulu kebimbangan ibu bapa banyak berkisar terhadap capaian anak-anak kepada laman-laman pornografi. Kebimbangan ini masih relevan kerana hari ini bukan sahaja wujud laman-laman pornografi menggunakan pendekatan tapak sesawang konvensional, malahan terdapat alternative-alternatif lain dalam bentuk sembang Internet, blog, jaringan social Internet dan perkongsian fail.

Internet yang bersifat ‘tanpa wajah’ membawa kepada wujudnya golongan yang mengambil kesempatan ke atas anak-anak. Pembuli siber, pemburu seks dan penggemar pedofilia (mereka yang mempunyai keghairahan seks kepada kanak-kanak) ialah antara ancaman-ancaman yang wujud dalam dunia siber tanpa sempadan ini, golongan yang membawa ancaman ini bukan sahaja berada di Malaysia malahan boleh berada di mana-mana sahaja di dunia ini asalkan mempunyai capaian internet.

No comments:

Post a Comment